KEADAAN MALAYSIA SEBELUM DAN SELEPAS MERDEKA

MALAYSIA SEBELUM MERDEKA

MALAYSIA SELEPAS MERDEKA
No posts.
No posts.

RUKUN NEGARA MALAYSIA

PENGENALAN

Asas kerukunan hidup bermasyarakat ialah permuafakatan dan perpaduan yang melambangkan wujudnya “kesatuan hati”. Perpecahan dan persengketaan pula menyebabkan anggota masyarakat itu akan sentiasa bergelut dengan tarikan yang berbeza arah. Ini bermakna “konflik” yang tidak berkesudahan akan menghantui kehidupan masyarakat. Justeru, bagi membentuk sebuah negara yang padu mesti ada etika dan falsafah kenegaraan yang dapat membina kecintaan (patriotisme), kesetiaan, permuafakatan dan perpaduan rakyatnya.

Rukunegara merupakan ideologi kebangsaan Malaysia yang diperkenalkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara bertujuan untuk membentuk keperibadian rakyat negara ini sebagai bangsa Malaysia yang bersatu padu. Terdapat lima prinsip ideologi yang menjadi tonggak perpaduan antara rakyat untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat; memelihara cara hidup demokratik; mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan, untuk membina sebuah masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden. Perkara ini dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera selama-lamanya. Namun pada masa ini, prinsip rukun negara makin terpinggir dan dilupakan oleh masyarakat kita terutamanya dalam kalangan generasi muda. Oleh itu, kepentingan penghayatan Rukun Negara dan pelbagai langkah yang efektif untuk memupuk kesedaran rakyat Malaysia dalam menghayati prinsip-prinsip rukun negara akan dibincangkan.

1. Apakah maksud Rukun Negara?

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.

2. Apakah isi kandungan pada Teks Rukun Negara ?

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

· Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;

· Memelihara cara hidup demokratik;

· Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;

· Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;

· Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

3. Apakah maksud setiap prinsip Rukun Negara?

1. Kepercayaan Kepada Tuhan

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan.[ Melalui kepercayaan beragama yang betul akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara

2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

3. Keluhuran Perlembagaan

Keluhuran perlembagaan menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara iaitu sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat

4. Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara

5. Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya adalah untuk membentuk warganegara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci tingkah laku yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

4. Apakah kepentingan tentang prinsip Rukun Negara?

1. Mencapai Perpaduan yang Lebih Erat.

Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli–ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan perbezaan kepercayaan masing-masing. Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai perbezaan yang wujud. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu di mana semua rakyat tampa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.

2. Mencipta Sebuah Masyarakat Yang Adil.

Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dapat dibahagikan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini, pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang kita cita-citakan itu bebas daripada penindasan seseorang terhadap yang lain ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

5. Rumusan tentang prinsip Rukun Negara .

Prinsip Rukun Negara sebenarnya berkait rapat antara satu sama lain. Kepercayaan kepada Tuhan antara lain menerapkan bahawa kepercayaan beragama boleh mengukuhkan ikatan semua bangsa seterusnya memantapkan institusi negara kerana rakyatnya mempunyai pegangan hidup. Tahap kesetiaan yang tinggi diberikan kepada raja dan negara pula amat bersesuaian kerana raja ialah lambang perpaduan negara. Keluhuran perlembagaan pula ialah sumber perundangan negara yang tertinggi dan harus diterima, dipatuhi serta dipertahankan oleh rakyat. Kedaulatan undang-undang pula memberi keadilan kepada setiap rakyat di negara ini kerana dijamin oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Prinsip kesopanan dan kesusilaan mementingkan perlakuan yang sopan dalam kalangan rakyat untuk menjaga hubungan baik masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Sehubungan dengan itu rakyat harus sedar Rukun Negara mampu menerapkan amalan menghormati undang-undang dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan budaya di negara ini. Langkah kerajaan melancarkan kempen tersebut amat tepat bagi mengingatkan rakyat supaya menghormati sensitiviti kaum agar keamanan dan keharmonian negara dapat terus dipelihara.





SEKIAN , ITU SAHAJA DARIPADA KAMI TERIMA KASIH.